Lalat mencalai – pembunuh labah-labah?

Phoridae and ?Mycetophilidae/Sciaridae

Gambar di atas diambil ketika satu sesi lawatan ke Tapak Simulasi Sains Forensik UKM Bangi pada April 2019, menunjukkan bangkai seekor labah-labah mati tergantung. Terdapat kemungkinan bahawa labah-labah tersebut tergolong dalam kumpulan labah-labah pelompat (jumping spider-Salticidae), berdasarkan rekod gambar makro yang pernah diambil sebelum ini. Ia dikerumuni oleh dua ekor lalat mencalai (lalat forid/scuttle fly, Diptera: Phoridae) dan dua ekor agas (Diptera: ?Mycetophilidae). Melihat kepada keadaan labah-labah yang masih segar dan mati tergantung, adakah kedua-dua kumpulan lalat atau salah satu daripada mereka, suspek utama kes pembunuhan tersebut?

Sekurang-kurangnya 10 spesies lalat forid pernah direkodkan sebagai pemangsa kepada labah-labah. Berdasarkan rumusan oleh Disney (1994), larva lalat forid (kebanyakannya terdiri daripada Megaselia spp.) pernah ditemui pada kantung telur labah-labah famili Araneidae, Linyphiidae, Metidae, Salticidae, Theridiidae. Malah, terdapat rekod spesies lalat forid Megaselia baharu yang ditemui pada labah-labah besar Tarantula! Bagi labah-labah famili Salticidae seperti di dalam gambar di atas, larva lalat forid Phalacrotophora epeirae dijumpai memparasit telur labah-labah Phidippus audax. Namun, catatan-catatan ini hanya menunjukkan bahawa tindakan memparasit adalah melibatkan larva lalat forid pada telur labah-labah, bukannya serangan lalat forid dewasa pada labah-labah itu sendiri.

Sehingga kini, belum ada rekod yang menyatakan serangan lalat forid dewasa atau agas terhadap labah-labah. Pemeriksaan ke atas bangkai labah-labah tersebut di makmal mendapati ia telah pun kering dan yang tinggal hanyalah eksoskeleton – tiada larva atau puparia kedua-dua kumpulan lalat berkenaan ditemui di bahagian dalam bangkai. Punca kematian labah-labah ini belum dapat dipastikan. Namun begitu, adalah menjadi sesuatu yang menarik untuk mengkaji hubungan di antara lalat forid dan labah-labah memandangkan gambar seperti ditunjukkan di atas amat sukar untuk didapati di lapangan!

“Sepandai-pandai labah-labah melompat, akhirnya menjadi juadah lalat.”

Anon.

For English translation, please request to the Author.

You may also like...